SINGAPURA: Pelabur ekuiti di Asia secara aktif meneliti kadar kemasukan ke hospital dan melihat jangkaan kemuncak virus, memandangkan beberapa negara di rantau ini bergelut dengan peningkatan kes baharu.
Peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 telah memburukkan lagi prestasi saham Asia yang sudah berprestasi lemah berbanding pasaran global lain tahun ini.
Dengan usaha negara untuk membuka semula ekonominya yang terjejas, sekatan yang ketat, peningkatan pantas kes, kesediaan kerajaan dan kemajuan dalam pelaksanaan vaksinasi menjadi pengukur utama bagi peniaga saham.
“Kami terus memantau jumlah jangkitan di seluruh Asia, sama ada kami mulai melihat paras puncak dari segi jumlah jangkitan,” kata Ketua Strategi Pasaran ASia JPMorgan Asset Management, Tai Hui.
“Pasaran Asia Timur Laut boleh dikatakan lebih berdaya tahan berbanding Asia Tenggara. China masih berada dalam liga tersendiri ketika menghadapi wabak, walaupun ada data ekonomi yang lebih lemah dari dijangkakan untuk April,” katanya.
Lonjakan kes virus di Taiwan dan Singapura minggu lalu menyumbang kepada kemerosotan 3.2 peratus Indeks MSCI Asia Pasifik, kerugian mingguan terbesar sejak Februari.
Penanda aras saham Indonesia sedikit ketinggalan dalam pembetulan teknikal pada Selasa berikutan kebimbangan peningkatan jangkitan kes COVID-19 selepas cuti Hari Raya Aidilfitri boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.
Sementara, penanda aras saham di Taiwan dan Singapura meningkat semula, namun ia masih antara pasaran saham yang mencatatkan prestasi terburuk di dunia bulan ini.
“Negara menjadi terlalu ‘selesa’ dengan COVID-19, dan ini akan menangguhkan pemulihan sepenuhnya,” kata Ketua Penyelesaian Kuantiti Pelbagai Aset Asia Pasifik BNP Paribas Asset Management, Paul Sandhu.
“Ini adalah risiko terbesar yang saya lihat sekarang,” katanya.
Pelabur juga memerhatikan faktor selain kenaikan kes jangkitan beban, yang mana terbukti daripada tindak balas pasaran terhadap situasi pandemik di negara yang berlainan.
Walaupun pasaran di Taiwan dan Singapura terkesan akibat peningkatan jangkitan baharu, penanda aras ekuiti di India dan Vietnam terus menentang kebimbangan yang sama dan mencatatkan prestasi mengatasi Indeks MSCI Asia Pasifik yang lebih meluas bulan ini.
Penanda aras saham Asia Tenggara ketinggalan berbanding rantau Asia Pasifik yang lebih meluas untuk bulan kedua berturut-turut, selepas dua bulan mencatatkan prestasi terbaik disokong oleh putaran nilai, kerana Singapura, Malaysia dan Thailand melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan yang lebih ketat.
“Di Asia Tenggara, manfaat daripada eksport yang kukuh masih ada, tetapi kelemahan permintaan domestik berikutan langkah kawalan pergerakan akan menangguhkan pemulihan berbanding di Asia Timur Laut, termasuk pelancongan,” kata Hui. – Bloomberg
© New Straits Times Press (M) Bhd




