zahrin@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tune Protect Group Bhd mengukuhkan lagi kehadirannya dalam industri insurans di Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu yang menepati kehendak pengguna semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rohit Chandrasekharan Nambiar, berkata kadar penembusan insurans di Malaysia masih rendah terutama dalam kalangan golongan M40 dan B40.
Beliau berkata, produk insurans yang diperkenalkan perlu menepati kehendak semasa terutamanya di dalam kalangan golongan muda dan profesional.
“Kita perlu menukar cara dan produk insurans ketika ini dengan menyasarkan kepada golongan muda, yang baru memulakan kerjaya dan berkahwin.
“Mereka tidak mahu lagi produk insurans tradisional. Mereka mahu produk baru yang segar dan mengikut citarasa. Lantaran itu, Tune Protect akan terus memberikan produk insurans yang baharu dan menepati kehendak semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan produk perlindungan rumah baharu daripada Tune Protect, Home Easy dan Home Shield, secara maya hari ini.
Rohit berkata, rantau ini juga mempunyai populasi yang muda dengan kadar pengunaan internet yang tinggi.
“Ini menunjukkan penduduk di rantau ini mempunyai pendedahan digital yang tinggi, sekali gus menawarkan potensi yang besar.
“Kunci utama untuk menarik golongan ini ialah keringkasan, harga dan ketelusan. Kumpulan percaya produk Tune Protect akan menjadi pilihan pengguna di Malaysia,” katanya
Mengenai Home Easy dan Home Shield, Rohit berkata, produk baharu kumpulan memberikan perlindungan untuk kediaman dan isi rumah daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat, letupan, banjir, atau paip pecah.
Beliau berkata, Home Easy turut menawarkan polisi insurans kediaman dalam talian termurah di pasaran iaitu penjimatan premium lebih daripada 40 peratus.
Home Easy juga, katanya, tersedia untuk pembelian pantas dalam talian sementara ejen Tune Protect akan membantu dalam pembelian Home Shield.
“Kedua-dua produk insurans rumah ini akan menawarkan penjimatan premium yang menarik berbanding dengan kadar tarif, sambil memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada pemilik rumah untuk menyesuaikan rancangan mereka dengan tambahan pilihan untuk memenuhi keperluan masing-masing,” katanya.
Setiap pembelian daripada saluran dalam talian Tune Protect, pelanggan dapat menikmati rebat langsung 15 peratus untuk premium dan memperoleh 5 Mata Ganjaran BIG untuk setiap premium RM1 bagi penebusan hadiah menarik dari senarai rakan gaya hidup BIG Rewards.
© New Straits Times Press (M) Bhd




