Putrajaya: Beberapa kawasan di Sepang dinaiki air susulan hujan berterusan sejak malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, kawasan terjejas membabitkan Kampung Salak Sepang dan Kampung Chingchang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sepasukan anggotan dan pegawai digerakkan bagi memantau keadaan banjir di Kampung Salak Sepang.
“Pemantauan turut dlakukan di kawasan berisiko di Sepang seperti Kampung Labu Lanjut, Pintu Kunci Air Labu Lanjut dan Kampung Pinang Sebatang,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan laporan JBPM Selangor, enam kediaman di Kampung Chingchang terjejas selepas dinaiki air.
Pasukan bomba turut menyelamatkan seorang lelaki dan wanita warga emas masing-masing berusia 80-an dan mereka dibawa ke tempat selamat.
Di Kampung Salak Sepang, JBPM Selangor memaklumkan beberapa kawasan dinaiki air setinggi 0.2 meter.
“Kerja-kerja pematauan di kawasan sekitar sedang dilakukan oleh pihak bomba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



