Belfast: Jurulatih Northern Ireland, Michael O’Neill menandatangani lanjutan kontrak selama empat tahun sehingga 2032, menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Ireland Utara, hari ini.
Pengendali berusia 56 tahun itu kembali mengendalikan pasukan buat kali kedua pada 2022 selepas meninggalkan skuad berkenaan pada 2020 ketika pandemik Covid-19 dan sudah mengharungi rekod 104 perlawanan bersama pasukan itu.
“Ia tugas yang sangat bermakna buat saya.
“Saya masih percaya dengan potensi kumpulan pemain ini dan arah tuju kami ketika ini. Banyak kerja perlu dilakukan tetapi saya teruja melihat masa depan pasukan,” katanya.
O’Neill mula mengambil alih Ireland Utara pada 2011 dan membawa pasukan itu layak ke Euro 2016 iaitu kejohanan utama pertama mereka dalam tempoh 30 tahun sebelum tersingkir pada pusingan 16 terbaik.
Dia turut dilantik sebagai pengurus sementara Blackburn Rovers pada Februari lalu sambil menjalankan tugas bersama Ireland Utara, namun awal bulan ini disahkan tidak akan memegang jawatan itu secara tetap.
Ireland Utara juga gagal melayakkan diri ke Piala Dunia selepas tewas 2-0 kepada Italy dalam aksi separuh akhir playoff UEFA pada Mac lalu sekali gus menamatkan impian mereka untuk kembali ke kejohanan itu buat kali pertama sejak 1986.
Presiden Persatuan Bola Sepak Ireland, Conrad Kirkwood memuji impak besar O’Neill terhadap pasukan.
“Saya gembira dia akan meneruskan tugas ini pada masa depan dan berharap lebih banyak kejayaan manis dapat dicapai pasukan,” katanya.
Ireland Utara akan menentang Guinea dalam aksi persahabatan pada 4 Jun sebelum ke Perancis sebagai persiapan menghadapi Liga Negara-Negara UEFA yang bermula September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




