Kekurangan kemudahan perubatan jejas usaha tangani Ebola di Congo

Kekurangan kemudahan perubatan jejas usaha tangani Ebola di Congo

Kinshasa, Congo: Kekurangan infrastruktur perubatan menjejaskan usaha membendung wabak Ebola di Republik Demokratik Congo, menurut petugas bantuan dan pakar perubatan yang arif mengenai keadaan di rantau itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pakar perubatan Gisela Schneider berkata, rakan sekerjanya di kawasan berkenaan mengesahkan bahawa sampel kes Ebola yang disyaki masih perlu dihantar sejauh kira-kira 1,700 kilometer ke ibu negara Kinshasa kerana wilayah Ituri belum mempunyai kapasiti makmal untuk mengesahkan kes.

Kerajaan Congo melaporkan kira-kira 930 kes disyaki dan sekitar 220 kematian yang dikaitkan dengan wabak itu.

Schneider, yang sebelum ini pernah berkhidmat di rantau itu bersama pertubuhan bantuan gereja Jerman, Difäm, berkata tiada kit ujian pantas tersedia bagi strain Bundibugyo yang sedang menular di negara itu.

Beliau berkata, pesakit yang mengalami gejala seperti demam panas, muntah dan cirit-birit terpaksa dirawat sebagai kes Ebola yang berpotensi, di samping menerima rawatan untuk malaria dan penyakit berjangkit lain sehingga diagnosis dapat disahkan.

Pusat triaj sedang diwujudkan bagi memisahkan pesakit yang disyaki menghidap Ebola daripada pesakit lain seawal mungkin di klinik.

Petugas yang memakai pakaian perlindungan menjalankan saringan terhadap individu yang tiba dengan memeriksa suhu badan dan mengemukakan beberapa soalan sebelum mengarahkan mereka sama ada ke kawasan rawatan biasa atau kawasan pengasingan.

Bagaimanapun, beliau berkata, banyak pusat kesihatan masih kekurangan peralatan perlindungan yang mencukupi, sekali gus menyumbang kepada penularan jangkitan berterusan termasuk dalam kalangan petugas kesihatan.

Penghantaran bekalan bantuan ke wilayah Ituri juga semakin sukar dilakukan, menurut Pengarah Negara pertubuhan bantuan Diakonie Katastrophenhilfe, Josue Ibulungu.

Beliau berkata, lapangan terbang di Bunia, bandar terbesar di Ituri, ditutup, manakala pengangkutan darat mengambil masa tiga hari dan melalui kawasan yang dikuasai pemberontak.

Laluan alternatif melalui Rwanda dan Uganda pula tidak lagi dapat digunakan selepas Rwanda menutup sempadannya dengan Congo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top