Jerebu: Kesihatan atau pelajaran? Fadhlina bincang dengan NADMA, mahu kedua-duanya terjaga!

Jerebu: Kesihatan atau pelajaran? Fadhlina bincang dengan NADMA, mahu kedua-duanya terjaga!

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan murid tetap menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi jerebu, namun pada masa sama mahu memastikan proses pembelajaran tidak terjejas akibat penutupan sekolah yang berpanjangan.

Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pengoperasian sekolah ketika jerebu perlu dibuat secara seimbang dengan mengambil kira tahap kesihatan murid serta kepentingan pendidikan mereka.

Sehubungan itu, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meneliti perkembangan situasi jerebu semasa.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terus terpelihara. Pada masa yang sama, kita tidak mahu mereka kehilangan masa pembelajaran akibat penutupan sekolah yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan.

May be an image of one or more people, people studying, dais, newsroom and text

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan bahawa NADMA dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi memperjelas penyelarasan tindakan dan prosedur pengurusan jerebu.

Katanya, langkah tersebut akan berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memastikan tindakan yang diambil oleh agensi berkaitan dapat dilaksanakan secara tersusun.

“Insya-Allah, pihak NADMA akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi memperjelas penyelarasan tindakan dan prosedur berkaitan pengurusan jerebu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” ujarnya.

Jerebu: 3 negeri tutup sekolah esok, beberapa PPD di empat negeri turut  terbabit

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, ibu bapa dan masyarakat.

“Menguruskan jerebu memerlukan tanggungjawab bersama. Setiap agensi mempunyai peranan masing-masing, begitu juga ibu bapa dan masyarakat.
“Kita mahu keputusan yang dibuat mengambil kira kesihatan dan kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya.

Scroll to Top