Peguam Persoal Tindakan SPRM Serbu Rumah Albert Tei

Peguam Persoal Tindakan SPRM Serbu Rumah Albert Tei

Oh! Negara

Peguam dakwa serbuan SPRM terhadap Albert Tei bercanggah kerana beliau adalah pemberi maklumat rasuah.


Serbuan SPRM di rumah ahli perniagaan, Albert Tei di Puchong pada pagi Jumaat menimbulkan persoalan apabila peguamnya mempersoalkan kewajaran tindakan itu. Ini kerana Albert dijadualkan untuk merekodkan keterangan pada Isnin depan, bukan pada hari serbuan dilakukan.

Kes ini turut menarik perhatian kerana Albert merupakan pemberi maklumat dalam satu dakwaan rasuah melibatkan tokoh politik terkenal.

Peguam dakwa tindakan bercanggah

Menurut laporan Sinar Harian, peguam Mahajoth Singh menyifatkan serbuan itu sebagai satu pencerobohan walaupun SPRM menggunakan waran. Beliau mempersoalkan tujuan memasuki rumah Albert sedangkan tarikh memberi keterangan sudah ditetapkan.

Adakah ini cara seorang pemberi maklumat rasuah dilayan? Mengapa masuk ke rumahnya sedangkan dialah yang memberikan maklumat?- Katanya.

Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan secara mengejut ini seolah bercanggah dengan dakwaan bahawa kerajaan menegakkan integriti dan proses yang betul.

Bimbang hak pemberi maklumat terjejas

Mahajoth menambah bahawa tindakan seperti itu memberi gambaran penggunaan kuasa negara secara songsang. Beliau berkata keadaan ini membimbangkan kerana ia menjejaskan hak pemberi maklumat serta orang awam.

Perkara ini membuatkan isu perlindungan terhadap pemberi maklumat kembali menjadi perhatian, terutama apabila kes melibatkan nama besar politik.

Dakwaan RM629,000 jadi tumpuan

Sprm

Albert sebelum ini mendakwa telah menyerahkan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, selepas diyakinkan bahawa wang itu akan disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Beliau turut menyediakan dokumen lebih 300 muka surat termasuk tangkap layar WhatsApp dan resit bagi menyokong dakwaan tersebut.

Reaksi Shamsul dan kenyataan Perdana Menteri

Shamsul Iskandar meletakkan jawatan pada Selasa lalu dan mendakwa terdapat percubaan untuk merosakkan imej Kerajaan Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan bahawa peletakan jawatan itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap tahap integriti yang tinggi.

Pssttt! Dalam isu yang membabitkan siasatan serius dan pemberi maklumat rasuah, penting untuk kita tunggu perkembangan penuh sebelum membuat apa-apa kesimpulan. Ohmedia harap korang sentiasa dapatkan maklumat daripada sumber sahih supaya tidak salah faham dengan situasi sebenar.

Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!

Scroll to Top