Polis cari suspek pergaduhan dua kumpulan di Batu Caves

Polis cari suspek pergaduhan dua kumpulan di Batu Caves

harisfadli@hmetro.com.my

Gombak: Polis giat mengesan sekumpulan suspek disyaki terbabit dalam insiden rusuhan menggunakan senjata di Selayang Jaya, Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tiga lelaki berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun cedera akibat dipukul.

“Kejadian berlaku kira-kira 12.10 tengah malam tadi. Pergaduhan berlaku membabitkan dua kumpulan lelaki warga tempatan yang belum dikenal pasti setakat ini.

“Kumpulan suspek disyaki menyerang kumpulan mangsa menggunakan senjata namun motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, ketiga-tiga mangsa cedera dibawa ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Shafiq Md Shapawi di talian 013 5154065,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top