harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Datang nak healing dan elak ‘jem’ (kesesakan trafik) lepas waktu kerja.” Itu alasan diberikan seorang doktor pakar yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis dijadikan sarang aktiviti seks songsang berselindung di sebalik gimnasium dan sauna di Chow Kit, di sini.
Usianya yang sudah hampir menjengah ke usia emas tidak menghalang dirinya pergi ke premis maksiat itu sebelum pulang ke pangkuan anak dan isteri di rumah.
“Saya selalu datang sini sebab nak elak kesesakan trafik selepas kerja. Boleh ‘healing’ sekejap layan sauna dan jakuzi.
“Apa saya buat saya tak mahu komenlah, cuma memang adalah aktiviti itu (seks songsang) berlaku di sini,” kata lelaki berusia 59 tahun berkenaan ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan 201 pengunjung dan tujuh pekerja ditajan dalam serbuan ke atas sebuah premis sauna yang dijadikan pusat lelaki gay bertemu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
Sementara itu seorang remaja 19 tahun antara ditahan mengaku mengetahui berkenaan pusat maksiat itu melalui rakan dan tertarik untuk mengunjung selepas membaca ulasan dalam talian berhubung premis terbabit.
Ketika ditahan, remaja berkenaan sedang berdua-duan bersama seorang lelaki berusia 46 tahun dan pemuda itu mendakwa itu kali kedua dia berkunjung ke sana.
“Tempat ini memang popular. Saya datang kali pertama dua minggu lalu dan luangkan masa selama tiga jam di sini. Awalnya nak cuba sahaja tetapi jadi ketagih pula selepas itu,” katanya.
Seorang pelancong asing yang ditemui turut mengaku mengunjungi premis itu selepas melihat ulasan dan komen positif di media sosial.
Lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun mendakwa tidak menyedari bahawa kegiatan tidak bermoral tidak premis itu menyalahi undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




