PRN Sabah: 2 sahabat berbasikal ke pusat undi

PRN Sabah: 2 sahabat berbasikal ke pusat undi

am@hmetro.com.my

Bongawan: Dua sahabat baik mencuri tumpuan orang awam dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila datang menaiki basikal lipat bersama-sama demi tujuan mengundi di pusat mengundi SMK Bongawan, di sini.

Rosni Patra, 43, guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bersama Hairiah Hunainy Ismail, 43, suri rumah yang berkongsi hobi berbasikal itu sebelum ini juga pernah datang mengundi dengan berbasikal.

Ketika ditemui, Rosni berkata, mereka berdua berbasikal sejauh dua kilometer (KM) daripada Kampung Seladan menuju ke pusat mengundi.

“Kami menaiki basikal kerana ingin mengurangkan kesesakan jalan raya dan pergerakan kami lebih mudah menuju ke pusat mengundi.

“Kami berbasikal ke sini pada jam 8:40 pagi dan tiba disini jam 9 pagi. Tadi kami tunggu hujan reda dulu barulah kami ke sini.

“Kebetulan sekolah ini juga merupakan sekolah kami dahulu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Hairiah berkata, mereka berdua termasuk seorang lagi sahabat mereka pernah berbasikal menuju ke tempat mengundi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

“Hari ini hanya kami berdua sahaja datang mengundi dengan menaiki basikal lipat ke tempat mengundi

“Namun sahabat kami itu bertugas sebagai petugas SPR hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top