Nottingham: Jaringan Maxim De Cuyper dan Stefanos Tzimas memastikan Brighton & Hove Albion pulang dengan kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest di City Ground, sekali gus melonjakkan skuad Fabian Huerzeler ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris.
Brighton memulakan aksi dengan tempo tinggi, melepaskan 13 percubaan pada babak pertama berbanding lapan daripada Forest, selain menguasai majoriti penguasaan bola.
Gol pembukaan hadir pada masa kecederaan babak pertama apabila Georginio Rutter melakukan hantaran tepat ke dalam kotak, membolehkan De Cuyper yang tidak dikawal menolak masuk gol keduanya musim ini.
Kemenangan Brighton dimuktamadkan pada minit ke-88 apabila penyerang berusia 19 tahun, Tzimas, mengambil kesempatan atas hantaran kepala lemah oleh pertahanan Forest, Morato.
Forest yang beraksi dengan keyakinan selepas dua kemenangan liga berturut-turut, termasuk menewaskan Liverpool 3-0, gagal menembusi pertahanan kental Brighton dan kini berada di tangga ke-16 dengan 12 mata.
Brighton pula mengumpul 22 mata, hanya satu di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat dengan satu perlawanan kurang.
Kapten Brighton, Lewis Dunk, mengakui permulaan pasukannya sangat meyakinkan.
“Ini mungkin bola sepak terbaik yang kami mainkan musim ini dalam 20 minit pertama,” katanya kepada Sky Sports.
“Mereka ubah cara tekanan dan kami hilang sedikit rentak. Separuh masa pertama kita lebih baik, dan separuh masa kedua kita kena bertahan lebih. Kadang-kadang kena menang cara ‘kotor’ dan itu yang kami buat hari ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd

