Buang cermin tandas kerana ganggu pelajar

Buang cermin tandas kerana ganggu pelajar

London: Sebuah sekolah menengah di Weymouth, United Kingdom (UK) mengambil langkah drastik dengan membuang semua cermin di tandas bagi mengelakkan pelajar terganggu.

Memetik Metro UK, Akademi Wey Valley berkata, keputusan itu dibuat kerana cermin menyebabkan ‘kesesakan’ dalam tandas.

Difahamkan, pengetua Steven Dyer menghantar emel kepada ibu bapa dan memaklumkan, cermin menyumbang kepada isu tingkah laku.

Beliau berkata, pelajar sering berkumpul di depan cermin sehingga menyebabkan kelewatan dan kesesakan.

“Membuang cermin membolehkan kami menjadikan tandas lebih tenang, selamat dan lebih tertumpu pada kegunaan asalnya.

“Keutamaan kami sentiasa untuk mengekalkan persekitaran yang selamat dan positif untuk semua serta perubahan ini sudah menunjukkan peningkatan yang ketara,” katanya.

Namun, beberapa ibu bapa berasa marah dengan keputusan berkenaan dan menganggapnya ketinggalan zaman.

Dalam pada itu, seorang ibu mendakwa, anak perempuannya perlu menanggalkan tindikan di teling dan menggantikannya dengan subang kecil lutsinar tanpa bantuan cermin.

Wanita itu berkata, pelajar lelaki dan perempuan sudah berdepan rasa tidak yakin dan keputusan itu hanya menambah tekanan.

“Apabila saya bertanya kepada anak-anak saya mengenai perkara ini, mereka berdua menjawab cermin itu ‘langsung tiada kaitan dengan isu yang sedang berlaku’,” kata wanita berkenaan.

Seorang lagi ibu bapa berkata, cermin bukan hanya untuk memeriksa solekan atau rambut tetapi juga untuk melihat masalah kesihatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top