JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan menyambut baik usaha kerajaan untuk memastikan proses kenaikan pangkat pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipermudah serta dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu menunjukkan kerajaan Persekutuan memahami peranan dan tanggungjawab dilaksanakan ATM dalam menjaga pertahanan, keselamatan dan keamanan negara.
Katanya, perkara itu selari dengan usaha dijalankan pihaknya sejak 2022 iaitu untuk melihat semula struktur organisasi dan perjawatan bersesuaian konsep Angkatan Masa Hadapan.
“Ada tiga komponen utama yang kita telah kemukakan. Pertama adalah struktur dan organisasi ATM, dimana kita mahu supaya perjawatan dan juga laluan kerjaya menyokong keperluan Angkatan Masa Hadapan. Ini penting kerana ramai pegawai telah menepati syarat kompetensi dan prestasi tetapi kemajuan kerjaya masih dipengaruhi kekosongan struktur perjawatan.
“Kedua, kita juga minta penambahbaikan gred dan kemajuan kerjaya kerana kita mahu pastikan terdapat kesepadanan munasabah antara pangkat, gred, tahap tanggungjawab dan peranan strategik yang dipikul warga ATM.
“Manakala ketiga melibatkan soal elaun dan juga kemudahan. Kita kena faham dan ambil kira keunikan profesion ketenteraan seperti juruterbang yang mempunyai pelbagai tuntutan dan juga keperluan. Dia mesti mengikuti latihan, kursus untuk tingkatkan kemahiran, tetapi jika tiada elaun tertentu untuk itu, dia tak mungkin boleh mengikuti kursus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Barisan Nasional (BN) Pasir Gudang, di sini malam ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa beliau bakal mengumumkan berita baik melibatkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Malam Ambang Merdeka, pada 30 Ogos depan.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled memberitahu, soal kenaikan pangkat pegawai-pegawai ATM tersebut bukan dibuat secara automatik sebaliknya bersandarkan kepada prestasi individu terlibat.
“Kenaikan pangkat semuanya itu bukan secara automatik, dia masih lagi bersandarkan kepada soal merit. Dia mesti bersandarkan prestasi, kompetensi, integriti dan juga keperluan organisasi melalui proses pertimbangan yang telah ditetapkan.
“Sehubungan itu, kami akan menunggu apa dia yang diluluskan demi kepentingan dan manfaat anggota-anggota ATM. Kita harus faham, aset dan teknologi dalam pertahanan berubah dengan pantas tetapi struktur organisasi dan sistem pengurusan bakat juga kita harapkan dapat dilakukan dengan pantas,” katanya.-UTUSAN




