Haiqal Azhar tarik perhatian, berlakon dalam Taxi Driver 3

Haiqal Azhar tarik perhatian, berlakon dalam Taxi Driver 3

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemunculan anak muda Haiqal Azhar dalam drama bersiri Korea popular, Taxi Driver 3 mencetus perhatian luar biasa di media sosial sehingga cogan kata ‘Malaysia Mendunia’ menjadi sohor kini.

Haiqal atau nama sebenarnya Muhammad Amir Haiqal Azhar, 26, tidak menyangka pencapaian itu membuka mata ramai terutama rakyat Malaysia mengenai karier lakonannya di Korea Selatan.

“Saya sangat terkejut dan ‘speechless’ bila mendapat perhatian luar biasa macam ni. Saya sendiri pun tak tahu macam mana nak jelaskan perasaan saya. Cuma saya berterima kasih sangat-sangat kepada semua sokongan dan doa-doa yang diberikan.

“Sebenarnya saya tak pernah terfikir untuk berlakon dan ini pun satu cerita yang agak kelakar jugalah. Semuanya bermula waktu saya masih menuntut di Universiti Konkuk. Satu hari, kawan universiti saya ajak saya masuk kelas lakonan.

“Tapi pada waktu itu, saya ada ‘stage fright’ yang sangat teruk sampai saya tak boleh nak buat pembentangan pun depan orang dalam kelas,” katanya kepada Harian Metro.

Sejak semalam, sedutan babak kemunculannya dalam drama Taxi Driver 3 menjadi perbualan sekali gus mendapat pujian ramai. Ramai berbangga melihatnya berkongsi babak dengan teraju utamanya, Lee Je Hoon.

Paling mengujakan apabila skripnya dalam bahasa Melayu dan tidak kedengaran janggal langsung.

Pemuda asal Semenyih, Selangor itu memaklumkan dia banyak terbabit dalam filem dan drama sebagai pelakon tambahan sebelum berpeluang berlakon sebagai watak-watak yang mempunyai skrip.

Bukan mudah, pengalamannya menjadi pelakon di Korea setakat ini bukan indah-indah saja. Disebabkan tuntutan watak, dia pernah berdepan situasi agak getir dan mencabar.

“Saya pernah berlakon menggunakan senapang sebenar dengan peluru kosong. Waktu itu saya tidak tahu kami boleh memakai penyumbat telinga dan bunyi senapang sangat kuat sehingga bingit telinga saya.

“Ada juga penggambaran di mana saya perlu berenang di laut Jeju dari pagi hingga ke waktu senja pada bulan April. Penggambaran itu dibuat tidak lama selepas tamat musim salji dan suhu laut sangat sejuk.

“Disebabkan itu, saya hampir mengalami ‘hypothermia’ manakala seorang pelakon lain yang bersama saya mengalami kejang otot sehingga terpaksa panggil ambulans,” katanya.

Selain Taxi Driver 3, anak keempat daripada lima beradik itu pernah berlakon drama Shop for Killers 1, filem Hideaway, filem indie Korea, program komedi di YouTube, dan sebuah drama Netflix yang belum ditayangkan.

Haiqal mengakui nekad meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan di negara terbabit, selain berazam untuk memperluaskan jaringan dan menimba ilmu untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Jadi untuk sekarang, saya merancang untuk penuhkan lagi ilmu dan kemahiran saya dalam bidang lakonan dan bekerja lebih keras hingga nama Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa.

“Semoga suatu hari nanti bila saya kembali ke Malaysia, saya boleh bawa semua ilmu, kemahiran dan jaringan saya ini ke Malaysia untuk membangunkan lagi industri lakonan di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top