Alexander jalankan tugas, fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Alexander jalankan tugas, fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata keputusan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat lalu.

“Perdana Menteri memaklumkan Jemaah Menteri yang bersidang pada Jumaat, 28 November 2025 bahawa Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa 3 Disember 2025,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, Shamsul Azri berkata, kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan oleh Datuk Ewon Benedick sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri Kabinet pada bulan lalu.

Tindakan Ahli Parlimen Penampang itu dilakukan ketika parti di Sabah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Menerusi laporan media, Ewon dipetik berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada urusan politik di Sabah dan memperkukuh kedudukan UPKO sebagai parti tempatan dalam landskap politik negeri berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top