nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekangan kewangan yang dihadapi mendorong graduan ini menjual burger di kampus bagi menampung perbelanjaan seharian ketika melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Kayu, Puteri Nurasmaliyana Asri, 24, berkata, dia berniaga burger di kawasan kampus sejak tahun pertama pengajian.
“Saya mula berniaga kerana keadaan kewangan keluarga yang agak terbatas. Ayah bekerja sebagai pemandu lori, manakala ibu adalah seorang kerani sekolah.
“Adik beradik saya juga ada yang turut melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT). Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya.
“Disebabkan itu, saya memilih untuk cari pendapatan sampingan supaya dapat meringankan beban ibu bapa serta menampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya.
Anak muda berasal dari Rawang, Selangor itu berkata, dia memilih untuk berniaga kerana ia adalah ‘pekerjaan’ yang paling fleksibel dengan jadual kuliah.
“Saya memulakan perniagaan jam 5.30 petang sehingga jam 12 tengah malam. Sebelum jam 5.30 petang, saya boleh menghadiri kuliah seperti biasa atau menyiapkan setiap tugasan pada waktu itu.
“Pada masa sama, saya memang minat berniaga. Jadi, ia boleh menjadi satu peluang kepada untuk saya menimba ilmu perniagaan sebenar sambil memperoleh pendapatan,” katanya.
Menurutnya, dia berdepan beberapa cabaran sepanjang berniaga termasuk dari segi kekangan masa yang membuatkannya kadang-kadang sukar untuk membahagikan waktu.
“Dulu saya pernah memegang jawatan sebagai salah seorang pemimpin penuntut. Waktu itu, agak sukar untuk saya menguruskan masa antara kuliah, mesyuarat, program serta berniaga,” katanya.
Katanya, pendapatan diperolehnya hasil menjual burger tidak begitu besar iaitu antara kira-kira RM600 hingga RM700 sebulan yang cukup untuk menyara kehidupannya di kampus.
“Pendapatan itu digunakan untuk keperluan harian saya termasuk bagi membeli makanan, sewa kenderaan, beli petrol, keperluan bilik asrama, beli buku rujukan dan disimpan sedikit untuk kecemasan.
“Alhamdulillah, sepanjang berniaga, saya menerima maklum balas yang baik. Malah, ibu bapa tahu saya berniaga di kampus dan mereka turut menyokong usaha ini,” katanya.
Beliau menasihatkan golongan mahasiswa yang berdepan situasi sama supaya tidak malu untuk mencari kerja sampingan atau memulakan perniagaan.
“Cari apa-apa sahaja sumber rezeki halal yang dapat menyara kehidupan anda di luar sana memandangkan kos sara hidup semakin tinggi.
“Sebagai mahasiswa, kita perlu bijak untuk menguruskan masa dengan bijak supaya tidak menjejaskan pelajaran. Harus diingat bahawa setiap usaha kecil kita pada hari ini boleh membawa perubahan besar pada masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




