suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan siasatan kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah dihentikan.
Beliau berkata, keputusan mahkamah berkaitan kes itu membabitkan dua perkara utama iaitu pembayaran tertentu kepada keluarga Amri dan Pastor Koh serta arahan supaya PDRM meneruskan siasatan.
“Saya menyatakan di Parlimen bahawa polis kita mengambil serius keputusan mahkamah.
“Pertama, pembayaran yang perlu dibuat oleh kerajaan kepada keluarga Pastor Koh, kita sudah mengetahui jumlah dan keperluannya.
“Kedua ialah polis meneruskan siasatan. Saya ingin memaklumkan bahawa siasatan polis tidak pernah dihentikan dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025, di Hotel Premiera, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, arahan mahkamah supaya polis meneruskan siasatan tidak bermaksud berlaku perubahan dasar kerana polis tidak pernah menutup kes ini.
Mengenai keputusan mahkamah yang mewajibkan kerajaan membayar RM10,000 setiap hari atas kegagalan mematuhi perintah melibatkan Pastor Koh, Saifuddin berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) sudah memfailkan rayuan kerana implikasi kewangannya yang besar.
“Itu kita sedia maklum. Pihak AGC telah mengemukakan rayuan kerana ia membabitkan implikasi kewangan yang besar.
“Sementara itu, kita menghormati keputusan mahkamah, kita biarkan proses rayuan berjalan,” katanya,” katanya.
Untuk rekod, Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Koh pada 13 Februari 2017.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita itu terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




