Jenazah Bung Moktar dibawa ke kediaman di Luyang

Jenazah Bung Moktar dibawa ke kediaman di Luyang

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Jenazah Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dibawa keluar dari Hospital Gleneagles pada jam 3.05 pagi tadi.

Jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lamag itu juga difahamkan akan dibawa ke kediamannya di Idang Residen, Luyang di sini.

Perkarangan Hospital Gleneagles yang dipenuhi ramai pemimpin dan ahli parti diselubungi suasana hiba.

Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi semasa menerima rawatan di hospital swasta terbabit.

Perkara berkenaan disahkan oleh anak lelaki Bung Moktar, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di Facebook.

Setakat ini tiada kenyataan rasmi mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bung Moktar.

Namun satu laporan media yang memetik kenyataan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.

Sebelum itu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meluangkan masa menziarahi Bung Moktar di hospital berkenaan pada jam 11.30 malam tadi.

Difahamkan urusan pengurusan jenazah Bung bermula dengan ziarah di kediamannya di Idang Residen, Luyang mulai jam 8 hingga 9.30 pagi ini manakala mandi jenazah jam 10 pagi di Masjid Bandaraya.

Solat jenazah dijangka selepas solat Jumaat di masjid sama dan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Likas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top