Ada ke patut minta bayaran tak masuk akal – Rashidi

Ada ke patut minta bayaran tak masuk akal – Rashidi

Kuala Lumpur : Pelakon, Rashidi Ishak, menegur sikap segelintir pelakon tempatan yang didakwanya meletakkan harga terlalu tinggi tanpa mengambil kira kemampuan dan kos penerbitan drama tempatan.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, Rashidi, 52, berkata sesetengah pelakon perlu lebih berlapang dada dan memahami realiti pasaran sebelum membuat tuntutan bayaran yang tidak munasabah.

“Pelakon yang mahu meminta harga tinggi untuk drama tempatan ini, bolehkah semak dahulu harga penerbitan pasaran? Janganlah terlalu perasan,” tulisnya.

Menurut pelakon drama bersiri Kampung People itu, permintaan bayaran premium hanya sesuai jika sesebuah produksi mempunyai skala besar dan bajet antarabangsa.

“Kalau stesen TV itu HBO atau Cinemax, bolehlah menuntut harga tinggi. Tetapi jika sekadar drama terbitan untuk RTM, TV3 dan Astro, tahu atau tidak berapa jumlah yang stesen bayar kepada pihak penerbit?” tulisnya.

Rashidi menambah, ada kes pelakon menuntut bayaran sehingga mencecah 20 peratus daripada keseluruhan kos penerbitan, sesuatu yang disifatkannya tidak masuk akal.

“Jika bayaran untuk anda seorang sahaja sudah mencecah 20 peratus daripada kos penerbitan, di mana logiknya, dik?” tulisnya.

Hantarannya itu menerima pelbagai reaksi daripada rakan industri dan warganet yang menyokong pandangannya, selain bersetuju bahawa pemain industri perlu lebih peka terhadap realiti ekonomi penerbitan drama tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top