Polis siasat Neelofa tak pakai pelitup muka di mahkamah

Polis siasat Neelofa tak pakai pelitup muka di mahkamah

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Polis membuka kertas siasatan terhadap usahawan dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim, berkata kertas siasatan dibuka susulan berita di laman sesawang sebuah portal yang tular memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, semalam.

“Polis menerima laporan mengenai tindakan (Noor Neelofa) tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan oleh KKM kepada semua individu.

“Ia termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Said berkata, penjelasan berhubung SOP itu juga dikeluarkan KKM selepas kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

“Susulan itu, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (P.U.(A)225/2021).

“Pihak polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa juga tindakan bagi memastikan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan peraturan yang ditetapkan KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

Media semalam melaporkan, Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah jam 8.50 pagi membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haris, gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Neelofa pula berdepan satu pertuduhan iaitu tidak membuat imbasan MySejahtera.

Kesalahan pasangan itu didakwa dilakukan pada 2 Mei lalu kira-kira jam 4 petang bertempat di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan.

Berikutan itu kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top