Rumah terbakar, wanita hamil terselamat

Rumah terbakar, wanita hamil terselamat

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang wanita sempat menyelamatkan diri selepas unit kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Angsana, Ayer Itam, di sini, musnah dalam kebakaran.

Difahamkan, mangsa yang juga pemilik rumah itu hamil tiga bulan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 9.18 malam.

Katanya, tugasan penyelamatan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong diketuai Komander Operasi Yusri Zakaria.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah dan api sedang marak.

“Difahamkan penghuni iaitu wanita berusia 30-an berjaya keluar dari rumah sebelum pasukan penyelamat tiba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

John Sagun berkata, bomba mengambil masa hampir 15 minit bagi memadam api.

Katanya, mangsa tidak mengalami kecederaan namun diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi.

“Pasukan penyelamat melakukan pemantauan di lokasi bagi memastikan keselamatan.

“Mangsa dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya.

Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat dan ditamatkan pada jam 10.33 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top