Perancis tidak 'goyang' bertemu Sepanyol

Perancis tidak 'goyang' bertemu Sepanyol

Waltham: Perancis menegaskan mereka tidak gentar berdepan Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, namun tetap menghormati kualiti dimiliki lawan yang tampil dengan benteng pertahanan hampir sempurna sepanjang kejohanan.

Sepanyol hanya dibolosi satu gol dalam kempen kali ini ketika memburu gelaran dunia kedua, manakala Perancis hadir dengan reputasi sebagai juara dunia 2018 dan naib juara edisi 2022.

Pertahanan Perancis, Ibrahima Konaté berkata, skuad Les Bleus tidak mempunyai sebab untuk takut kepada mana mana pasukan, sebaliknya hanya perlu membuat persiapan terbaik bagi memastikan kemenangan memihak kepada mereka.

“Anda tidak boleh takut kepada sesiapa. Kami akan membuat persiapan sebaik mungkin dan berharap keputusan akhirnya memihak kepada kami.

“Sepanyol adalah pasukan yang luar biasa dengan ramai pemain berkualiti. Jadi kami tidak akan hanya memberi tumpuan kepada seorang pemain walaupun Lamine Yamal adalah pemain yang hebat,” katanya.

Perancis cukup mengenali kekuatan Sepanyol selepas tewas kepada lawan sama pada separuh akhir Euro 2024 dan turut disingkirkan dalam separuh akhir Liga Negara Negara UEFA tahun lalu.

Gandingan Dayot Upamecano dan William Saliba dijangka sekali lagi mengemudi benteng pertahanan Perancis ketika skuad kendalian Didier Deschamps memburu penampilan kelima mereka di pentas final Piala Dunia.

Sekiranya berjaya menewaskan Sepanyol, Perancis akan mara ke final buat kali kelima dalam tujuh edisi terakhir Piala Dunia, sekali gus menyamai rekod konsisten pernah dilakar Jerman Barat antara 1974 hingga 1990.

Bagaimanapun, Konate menegaskan seluruh pasukan enggan terlalu memikirkan rekod atau pencapaian itu kerana mahu terus merendah diri sepanjang kejohanan.

“Kami akan terus merendah diri dan tidak akan terperangkap dengan perkara seperti itu,” katanya.

Seorang lagi pertahanan Perancis, Maxence Lacroix mengakui cabaran terbesar adalah memecahkan benteng kukuh Sepanyol selain mengekang pergerakan pemain sayap sensasi, Lamine Yamal.

“Saya tidak akan mengatakan kami takut, tetapi kami sedar akan kualiti mereka. Mereka memenangi semua perlawanan kecuali seri tanpa jaringan dengan Cape Verde. Kami menghormati mereka kerana mempunyai ramai pemain berkualiti, tetapi kami tetap mahu menang.

“Kami akan bertahan sebaik mungkin. Yamal adalah pemain yang sangat bagus dan sudah membuktikan dia mampu menyusahkan banyak pasukan di Piala Dunia ini. Kami akan melakukan apa yang perlu untuk menyekatnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top