England sedia hadapi ujian terbesar bertemu Argentina

England sedia hadapi ujian terbesar bertemu Argentina

Kansas City: England bakal berdepan ujian paling getir dalam misi menamatkan kemarau 60 tahun menjulang Piala Dunia apabila dijadual bertemu juara bertahan Argentina pada aksi separuh akhir yang sarat dengan sejarah dan perseteruan klasik.

Skuad kendalian Thomas Tuchel melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Norway 2 1 menerusi masa tambahan, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir buat kali kedua dalam tiga edisi Piala Dunia terakhir.

Kali terakhir England mara ke final ialah pada edisi 1966 ketika muncul juara di laman sendiri, manakala pada Piala Dunia 2018 mereka terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada Croatia.

Sepanjang kempen kali ini, England memperlihatkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dalam dua aksi kalah mati, sesuatu yang disifatkan Tuchel sebagai identiti baharu pasukannya.

“Mereka enggan mengalah. Mereka enggan menerima kekalahan. Mereka bangkit selepas berdepan kesukaran dan memberikan segala yang ada. Tiada langsung rungutan daripada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu mengakui anak buahnya masih mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan mutu permainan jika mahu menumbangkan juara bertahan.

“Mampu mengatasi kesukaran dan mencari jalan untuk menang adalah pada tahap tertinggi. Kami berjaya melakukannya dan berada di separuh akhir, tetapi saya tetap percaya kami boleh dan perlu bermain dengan lebih baik,” katanya.

Kemaraan England banyak dipacu ketajaman kapten Harry Kane dan Jude Bellingham yang masing masing sudah meledak enam gol, sekali gus menyumbang 12 daripada 13 jaringan pasukan di kejohanan ini.

Bellingham kini berada dalam prestasi terbaik apabila menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan terakhir, dengan Tuchel menyifatkan pemain Real Madrid itu sebagai bintang bertaraf dunia yang sentiasa menyerlah pada saat penting.

“Persembahan bertaraf dunia daripada pemain bertaraf dunia pada detik paling penting. Benar benar kelas tertinggi,” katanya.

England bagaimanapun berdepan sedikit kebimbangan apabila beberapa pemain mengalami kekejangan dan masalah kesihatan ketika aksi menentang Norway, termasuk pemain tengah Declan Rice yang terpaksa direhatkan selepas menghabiskan tiga hari sebelumnya terlantar akibat sakit.

Pertemuan dengan Argentina bakal menghidupkan semula salah satu perseteruan paling ikonik dalam sejarah Piala Dunia. Kedua dua negara sudah lima kali bertemu sebelum ini, termasuk perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 yang menyaksikan Diego Maradona menjaringkan gol kontroversi “Hand of God”, selain kemenangan Argentina menerusi penentuan penalti pada 1998 sebelum England membalas dendam dengan kemenangan 1 0 di peringkat kumpulan pada edisi 2002.

Kini, dengan tiket ke final menjadi taruhan, England berharap mampu meneruskan kebangkitan luar biasa mereka untuk menyingkirkan juara bertahan dan semakin hampir menamatkan penantian enam dekad menjulang trofi paling berprestij dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top