Liverpool: Dua pemain Liverpool yang masih beraksi di Piala Dunia 2026, Alexis Mac Allister dan Victor Munoz dijangka hanya kembali menyertai skuad The Reds pada minggu kedua Ogos selepas diberikan tempoh rehat susulan tugasan antarabangsa.
Mac Allister bersama Argentina dan Munoz yang mewakili Sepanyol berjaya membantu negara masing masing mara ke separuh akhir Piala Dunia, sekali gus memastikan mereka akan kekal bersama skuad kebangsaan sehingga sekurang kurangnya aksi penentuan tempat ketiga atau final pada 18 atau 19 Julai ini.
Mengikut polisi Liverpool, setiap pemain yang beraksi di kejohanan utama antarabangsa lazimnya diberikan cuti selama tiga minggu sebelum kembali menjalani latihan pramusim bersama kelab.
Berdasarkan jadual itu, kedua dua pemain dijangka hanya melapor diri di Pusat Latihan AXA sekitar 8 atau 9 Ogos, sekali gus terlepas keseluruhan jelajah pramusim Liverpool di Amerika Syarikat.
Mereka juga hampir pasti tidak akan diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Monaco di Anfield pada 9 Ogos kerana baru selesai tempoh rehat dan belum mencapai tahap kecergasan terbaik.
Sebaliknya, Mac Allister dan Munoz dijangka mula menyertai latihan beberapa hari selepas itu sebelum berpeluang membuat penampilan pertama pada aksi pemanas badan menentang Como di Anfield pada 16 Ogos, bergantung kepada tahap kecergasan masing masing.
Perlawanan itu menjadi peluang terakhir buat kedua dua pemain membuktikan kemampuan sebelum Liverpool membuka kempen Liga Perdana Inggeris 2026 2027 dengan aksi di gelanggang Newcastle United seminggu kemudian.
Bagi Mac Allister, musim baharu dianggap peluang terbaik untuk kembali mempamerkan prestasi terbaik selepas aksi yang kurang konsisten musim lalu, manakala Munoz pula pastinya mahu memberikan impak segera selepas menyertai Liverpool dari Osasuna pada jendela perpindahan musim panas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




