mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelawak Tauke Jambu bersyukur apabila perniagaan kedai makan yang diusahakan berdekatan sebuah stesen minyak di Pasir Penambang, Kuala Selangor mendapat sokongan daripada rakan-rakan artis.
Tauke atau nama sebenar Zamatul Amri Zakaria, 49, yang berniaga sejak Oktober lalu berkata, kehadiran mereka membuktikan dia tidak dipinggirkan oleh rakan-rakannya.
“Rakan artis yang datang antaranya Amir Sofaz, Ajai, Acong Sweetchild dan ramai lagi. Mereka bagi sokongan moral untuk apa yang saya buat. Saya memang alu-alukan kawan-kawan datang.
“Hubungan dengan kawan-kawan artis semua baik, cuma saya tak bersama mereka lagi maka agak jauhlah, namun mereka tetap ingat saya,” katanya.
Dengan sambutan hangat diterimanya, Tauke yang berniaga lempeng dan cucur di sebuah bangunan terbiar berhajat mencari lokasi lebih sesuai.
“Insya-Allah, memang ada perancangan ini. Kita akan tengok kawasan ini boleh atau tidak. Buat sementara ini, kita jalankan dulu apa yang boleh.
“Kalau ada tempat yang lebih menarik, kita akan pilih. Sebenarnya ada beberapa pihak nak sediakan tempat lebih selesa, tapi sebab masih baru, kita pilih di sini dulu.
“Buat masa ini saya nak fokus berniaga dulu betul-betul. Rasanya kali akhir saya terbabit dalam seni semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Selepas ini insya-Allah kalau ada tawaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
