am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Zynakal meluahkan rasa kecewa terhadap individu terdekat yang didakwa tidak muncul ketika dia berdepan saat sukar.
Zynakal, 27, atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli memuat naik hantaran di Instagram Storynya mengenai berita kemalangannya, semalam.
“Pada akhirnya, tiada siapa yang peduli tentang kau sampailah kau m*ti. Ada awek (teman wanita) pun tak guna, ada kawan pun tak boleh pakai.
“Semua ada time (masa) kau senang..time (masa) susah semua hilang,” tulisnya di Instagram Story.
Menerusi hantarannya itu juga, Zynakal kini memilih untuk bergantung pada diri sendiri kerana dia tidak percaya dengan sokongan orang sekeliling yang hanya hadir ketika dia berada dalam keadaan senang.
“Pandai pandai la aku tolak sendiri.. nak harapkan orang ? Takda orang nak teman kau time (masa) susah.. nasib aku tak m*ti.. Entah entah kalau aku m*ti tiada siapa pun datang sembahyangkan aku,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, hantaran itu dipercayai dipadam Zynakal.
Dalam hantarannya yang lain, dia turut memuat naik gambar kenderaannya yang remuk akibat kemalangan yang berlaku itu.
Pelantun lagu Sakit itu meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kesempatan untuk hidup dan menghargai semua yang mendoakannya.
“Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bernafas. Terima kasih semua yang mendoakan saya,” tulisnya di ruangan kapsyen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




