BANGKOK: Thailand akan melanjutkan tempoh darurat di seluruh negara itu selama dua bulan lagi, berikutan penularan jangkitan yang tidak menunjukkan tanda reda.
Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, hari ini meluluskan lanjutan tempoh darurat sehingga hujung Julai, menurut jurucakapnya, Taweesilp Visanuyothin.
Pengisytiharan itu membenarkan kerajaan untuk memperkemas rancangan kawalan penyakit tanpa kelulusan berkali-kali dari pelbagai agensi, yang sudah pun dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.
Menurut laporan, Thailand mengesan 15 kes jangkitan domestik pertama membabitkan varian yang memiliki kebolehjangkitan tinggi dari India.
Sebanyak 15 kes terbabit dikesan dalam kalangan pekerja pembinaan di Bangkok.
Kes membabitkan varian itu adalah antara 3,481 kes baharu dan 31 kematian baharu yang diumumkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu sebanyak 123,066 kes serta 735 kematian.
Thailand sedang bergelut dengan gelombang ketiga pandemik itu yang menyumbang empat kali ganda kes di negara itu dalam tempoh tujuh minggu, ditambah pula kes kematian yang meningkat tujuh kali ganda.
Gelombang itu bermula di pusat hiburan malam di Bangkok pada awal bulan lalu.
Ia kemudiannya menular menjangkiti komuniti, tapak pembinaan dan penjara menyaksikan wujud puluhan kluster di ibu negara Thailand itu.
Seramai 2.5 juta orang sudah menerima suntikan vaksin di Thailand.
Bagaimanapun, pelaksanaan program vaksinasi di negara itu bergerak perlahan berikutan bekalan vaksin yang terhad.
Thailand yang memiliki populasi rakyat hampir 70 juta orang setakat ini memberi fokus terhadap petugas kesihatan dan barisan hadapan, penduduk di wilayah yang mempunyai penularan pandemik atau sedang bersiap sedia untuk membuka kembali pintu negara itu bagi kemasukan pelancong yang sudah menerima suntikan vaksin.
Negara itu juga menambah golongan pekerja dalam senarai utama untuk memulakan sektor ekonomi.
Pertumbuhan ekonomi Thailand dijangka merosot tahun ini ekoran penangguhan pembukaan semula sempadan negara itu untuk pelancong asing dan pelaksanaan program vaksinasi yang perlahan.
Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan pada minggu ini menjangkakan, ekonomi negara itu dapat berkembang antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus pada tahun ini, kurang 2.5 peratus hingga 3.5 peratus seperti jangkaan Februari lalu. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




