mhafis@mediaprima.com.my
Sungai Besi: Kenaikan harga barang di Kuala Lumpur tidak terlalu ketara walaupun sebelum ini berdepan krisis minyak akibat peperangan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Mohd Sabri Seman berkata, berdasarkan pengalaman di Kuala Lumpur sendiri harga barang didapati tidak meningkat terlalu ketara.
Menurutnya, semakan yang dilakukan secara harian, mingguan dan bulanan mendapat sepanjang krisis itu Kuala Lumpur tidak mencatatkan peningkatan harga yang signifikan.
“Sebenarnya dua faktor dikesan menyebabkan berlaku peningkatan di Kuala Lumpur iaitu isu bekalan sayur akibat cuaca dan bekalan berkurangan di mana itu mekanisma biasa bukan disebabkan harga minyak naik.
“Bagaimanapun dengan harga minyak akan turun ini berdasarkan keadaan di luar negara, harapan besar KPDN Kuala Lumpur kita mohon kerjasama pihak peniaga supaya menilai kembali harga barang jualan mereka.
“Sekiranya sesuai kita minta diturunkan harga barang,” katanya pada sidang media selepas Program Ihsan Food Bank (i-FB) @ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) 2026.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti (HEPA) UPNM, Kolonel (K) Prof Dr Khairol AmaliAhmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




