MUAR – “Merah pun kita, biru pun rumah kita,” demikian penegasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyentuh soal warna pakaian yang menjadi perbualan menjelang Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Bersatu pada Ahad.
Beliau berkata, perbincangan mengenai sama ada penyokong perlu memakai baju merah atau biru bukanlah isu besar, sebaliknya mencerminkan semangat dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, merah merupakan warna rasmi Bersatu manakala biru sinonim dengan PN.
“Ramai bertanya nak pakai baju apa malam ini. Ada yang kata pakailah baju merah kerana itu warna Bersatu.
“Ada pula yang bertanya kenapa mesti pakai merah sedangkan kita berada dalam Perikatan Nasional. Tetapi tidak mengapa. Merah pun kita, biru pun rumah. Sampai bila-bila pun kita dalam PN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Johor Bersatu di SLF Ballroom, Bakri di sini pada Ahad.
Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu membuat keputusan kekal dalam PN dan akan menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, Pas sepatutnya meninggalkan PN dan membentuk gabungan baharu menggunakan logo serta penjenamaan sendiri.
Beliau mendakwa Pas tidak pernah komited sepenuhnya kepada PN, selain parti itu juga terlibat dalam rundingan politik di luar gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, rakyat kini semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang masih belum dapat ditangani dengan berkesan.
Menurut beliau, rakyat sentiasa menilai prestasi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian



