Culik, bunuh demi curi aset kripto, 5 ditahan, 4 sudah didakwa

Culik, bunuh demi curi aset kripto, 5 ditahan, 4 sudah didakwa

Madrid: Polis Sepanyol pada Rabu memaklumkan mereka telah menahan lima individu kerana menculik dan membunuh seorang lelaki bagi mencuri aset kripto miliknya, manakala empat lagi individu didakwa di Denmark.

Mangsa dan pasangannya diserang pada April lalu di selatan Sepanyol.

Mangsa ditembak di kaki ketika cuba melarikan diri, menurut kenyataan polis.

Pasangan itu kemudian dibawa ke sebuah rumah dan ditahan selama beberapa jam sementara suspek cuba mengakses dompet kripto mereka untuk mencuri aset digital tersebut.

Wanita berkenaan dibebaskan pada tengah malam dan melaporkan kejadian penculikan itu.

Polis kemudian menemui mayat pasangannya di kawasan hutan di Mijas, wilayah Malaga.

Dalam serbuan di beberapa rumah di Madrid dan Malaga, polis merampas pistol serta “pelbagai barangan berkaitan jenayah”, termasuk seluar yang mempunyai kesan darah.

Polis Sepanyol tidak menyatakan bila tangkapan itu dilakukan.

Daripada empat yang didakwa di Denmark, dua daripadanya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan serupa.

Kes penculikan dan cubaan penculikan berkaitan dunia kripto dilaporkan semakin meningkat di seluruh dunia seiring peningkatan nilai mata wang digital itu.

Pada Januari lalu, ketua syarikat kripto Perancis, David Balland, dan pasangannya diculik. Balland ialah pengasas bersama firma kripto Ledger yang ketika itu bernilai lebih AS$1 bilion.

Jari Balland dipotong oleh penculik yang menuntut wang tebusan. Dia dibebaskan pada keesokan harinya, manakala teman wanitanya ditemukan dalam keadaan diikat dan ditinggalkan dalam but sebuah kereta di luar Paris.

Pada Mei pula, penyerang di Paris cuba menculik anak perempuan dan cucu kepada Ketua Pegawai Eksekutif platform pertukaran kriptowang Paymium, namun gagal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top