Penyanyi, Adira Suhaimi, 34, mengakui dirinya kini berada dalam fasa untuk kembali membuka hati selepas sekian lama menutup pintu.
Menurut Adira, dia sendiri tidak menyangka melalui perjalanan emosi sedemikian, apatah lagi selama ini dia dikenali sebagai wanita yang setia meskipun tidak berada dalam sebarang hubungan.
“Saya tertanya-tanya kenapa ini berlaku kepada saya. Saya ni seorang yang setia walaupun tidak ada apa-apa hubungan.
“Ini masanya saya mencari dan membuka kembali ‘kandang’ (pintu hati) yang sudah tertutup lama,” katanya.
Jelas Adira, bukan tiada lelaki yang cuba mendekatinya, namun dia sendiri memilih untuk tidak memberi peluang.
“Ramai yang datang mendekati saya, cuma saya yang tutup pintu hati. Saya bukan nak kahwin, jangan mengebalah.
“Saya cuma nak buka hati, pusing-pusing dulu. Kita pun nak bahagia, rasa dihargai, disayangi… bukan sekadar dengar perkataan ‘sayang’ saja,” katanya.
Mengulas mengenai ciri pasangan idaman, Adira menegaskan dia lebih selesa mengenali lelaki biasa yang jauh daripada dunia glamor.
“Kalau boleh, saya tak nak pempengaruh atau orang dikenali. Saya nak orang yang biasa-biasa saja,” jelasnya.
Dalam masa sama, Adira berkata dia tidak merasakan sebarang kerugian jika kehilangan seseorang kerana hidupnya berputar pada anak-anak dan dirinya yang sudah lama berdikari.
“Saya tak rugi apa-apa untuk hilang sesiapa. Saya ada anak-anak. Saya jenis yang buat semua sendiri, tak ada tempat nak bergantung untuk bayar bil api, air atau rumah,” katanya.
Namun, Adira mengakui sebagai wanita, dia juga punya naluri untuk dimanjakan sesekali.
“Kita ni nak juga bermanja. Bila dah biasa sangat jadi provider dan independent, kita jadi teringin ada tempat bergantung sekali-sekala,” ujarnya.
Adira turut menegaskan dia kurang senang apabila warganet cuba memasangkan dirinya dengan mana-mana individu, termasuk rakan seindustri yang muncul bersamanya di atas pentas.

“Jangan kenenkan saya dengan sesiapa, saya tak suka. Contohnya saya nyanyi dengan seseorang, orang kenenkan… saya sangat tak suka. Itu semua atas dasar profesional. Menyanyi dan bekerja saja.
“Saya dengan bekas isteri Hafiz berkawan, dan saya dengan Hafiz pun berkawan. Kami profesional bekerja. Saya tak ada mesej dengan dia, hanya jumpa ketika kerja,” katanya.
Sekadar info, Adira telah sah bercerai dengan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April 2024.
Perceraian tersebut berlaku selepas Adira memfailkan permohonan pada 25 Oktober 2023 kerana tiada persefahaman, dan Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah.
Sumber: YouTube




