yusmizal@hmetro.com.my
Genap seminggu Jaslinda Saludin hilang di Gunung Batu Putih, dekat Tapah, Perak menimbulkan pelbagai persoalan mengenai apa nasibnya.
Rekreasi luar adalah aktiviti lasak di alam semulajadi yang berisiko.
Bagi mengupas senario yang berkemungkinan, Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, PROF DATUK DR MD AMIN MD TAFF yang turut berpengalaman dalam aktiviti kembara dan sukan lasak.
Apakah faktor-faktor yang mungkin mengakibatkan seseorang pendaki hilang?
Terdapat tiga faktor utama penyebab insiden hilang atau sesat di pergunungan iaitu manusia, peralatan dan juga persekitaran iaitu alam semula jadi.
Manusia – persediaan fizikal, mental, spiritual, persediaan kemahiran mendaki, kemahiran survival dan kemahiran menyelamat diri sendiri dan juga rakan ekspedisi. Jadi kita perlu sentiasa patuhi peraturan keselamatan mendaki gunung dan mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.
Peralatan – persediaan peralatan yang bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dijalankan. Pastikan peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik, pastikan sentiasa membawa kit survival.
Persekitaran (alam semula jadi) iaitu pastikan bersedia secara fizikal, mental dan spiritual dengan persekitaran yang ingin di daki.
Pastikan kita mendapatkan laporan cuaca yang tepat dengan jangkamasa dan tarikh pendakian.
Sentiasa amalkan prinsip Etika Alam Semulajadi (etika menjaga alam sekitar ketika pendakian).
Ingat, mendaki adalah aktiviti berisiko. Anda bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga keselamatan diri sendiri dan juga rakan sependakian. Perlu sentiasa ingat bahawa the mountain is always there, jika tak larat atau cedera, hentikan pendakian. Keselamatan anda dan rakan sependakian adalah lebih penting.
Anda masih boleh mendaki gunung yang sama pada masa hadapan. Prinsip Do It Right, Stay Alive mesti sentiasa diamalkan.
Secara umum, apakah persediaan yang perlu ada kepada pendaki atau penggemar sukan lasak?
Apapun, perlu bersedia sepenuhnya terhadap ketiga – tiga elemen di atas iaitu manusia, peralatan dan persekitaran. Setiap pendaki perlu pastikan kecergasan dari segi mental dan fizikal kerana mendaki gunung bukan hanya mengenai sampai ke puncak, tetapi bagaimana untuk sampai dengan selamat.
Selalu berlaku ahli kumpulan terpisah sehingga meningkatkan risiko bahaya kepada pendaki. Boleh komen?
Pendakian adalah aktiviti yang sihat, menyimbang terhadap ekonomi setempat dan negara, menyediakan peluang pekerjaan serta membina rasa sayangkan alam sekitar.
Prinsip atau prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pendakian yang sekian lama diwujudkan harus menjadi amalan dalam kalangan semua pendaki.
Pendaki perlu memastikan mereka mematuhi SOP keselamatan pendakian sepanjang masa dan patuh kepada undang-undang serta peraturan setempat yang telah ditetapkan.
Apakah soal keselamatan perlu diingatkan berkali-kali walaupun ada pendaki sudah berpengalaman?
Aktiviti pendakian dan rekreasi luar adalah aktiviti berkumpulan, menyeronokkan serta tiada elemen pertandingan berbanding sukan. Sehubungan itu, nikmatilah pengalaman pendakian secara berkumpulan bukannya individu.
Malim gunung harus sentiasa pastikan SOP keselamatan pendakian diamalkan setiap masa. Taklimat keselamatan, pemeriksaan peralatan, ketua pendaki, kawasan rehat dan banyak lagi yang perlu dipatuhi tanpa kompromi.
Saya kurang menyokong kaedah compress yang mementingkan masa mendaki paling cepat kerana ianya boleh menyebabkan insiden sesat atau kemalangan di pergunungan berlaku.
Apa nasihat Datuk kepada pendaki baru yang teruja untuk mengembara?
Aktiviti rekreasi luar dan mendaki adalah aktiviti sihat, memulihara alam sekitar lagi menyeronokkan.
Namun jangan sesekali kita abaikan elemen keselamatan, yang juga elemen terpenting dalam trip pendakian.
Bersamalah kita bersimpati dengan keluarga tercinta yang menunggu di rumah, selain pasukan penyelamat yang perlu berkorban masa dan tenaga demi memastikan kesejahteraan kita di pergunungan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




