Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani tidak sertai Perarakan Hari Israel

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani tidak sertai Perarakan Hari Israel

NEW YORK – Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani mencatat sejarah sebagai pemimpin bandar pertama dalam sejarah terkini New York yang tidak menghadiri Perarakan Hari Israel di Fifth Avenue, menurut laporan CBS News.

Perarakan tahunan itu dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di Fifth Avenue, New York, dengan anggaran kehadiran puluhan ribu peserta dijangka memenuhi jalan utama bandar tersebut.

Mamdani menegaskan keputusan itu bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah dinyatakan sejak kempen pilihan raya lagi, selain mengekalkan pendiriannya terhadap kerajaan Israel yang sebelum ini telah dijelaskan secara terbuka.

“Saya telah menyatakan semasa kempen bahawa saya tidak akan menghadiri perarakan ini, dan saya telah menjelaskan pendirian saya mengenai kerajaan Israel,” katanya.

Perarakan tersebut merupakan acara tahunan yang menjadi tumpuan komuniti Yahudi di New York, dengan penganjur menjangkakan kehadiran lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun Datuk Bandar tidak hadir, Pesuruhjaya Polis New York (NYPD), Jessica Tisch akan mengetuai perarakan sebagai grand marshal, selain memainkan peranan utama dalam penyelarasan pelan keselamatan acara berkenaan.

Menurut laporan CBS News, Mamdani dan Tisch sebelum ini turut hadir bersama dalam sesi taklimat keselamatan bagi membincangkan persiapan serta aspek keselamatan menjelang perarakan tersebut.

“Ini keputusan Datuk Bandar untuk tidak berarak, dan ini keputusan saya untuk berarak dengan bangga,” kata Tisch.

Pihak NYPD memaklumkan bahawa tiada ancaman keselamatan yang diketahui setakat ini, namun langkah keselamatan tetap dipertingkatkan dengan kawalan ketat di sepanjang laluan perarakan.

Antara langkah keselamatan termasuk penempatan anggota polis berpakaian seragam dan tidak seragam, pasukan antikeganasan, unit pengesan bahan letupan, penggunaan dron dan helikopter, serta pasukan berkuda dan anjing pengesan.

Menurut pihak berkuasa, pelan keselamatan tahun ini merupakan antara yang paling ketat pernah dilaksanakan bagi acara tersebut, susulan jangkaan kehadiran besar-besaran orang ramai.

Perarakan Hari Israel merupakan acara tahunan di Fifth Avenue yang menghimpunkan puluhan ribu peserta sebagai simbol solidariti komuniti Yahudi di bandar tersebut. – Agensi

Scroll to Top