am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Empat tekong darat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Raja Yusuf Saifullah Raja Shariffudin, 34, Miqdad Elya Zulkifli, 41, Nor Hizam Mohd Nor, 45, dan Mohamad Faizul Mat Yusoh, 43, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, Raja Yusuf Saifullah dan Miqdad Elya didakwa melakukan penyeludupan migran dua lelaki warga Myanmar di sebuah pasar raya di Jalan Utama Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai pada jam 4.45 petang 14 November lalu.
Dalam pertuduhan berasingan, Nor Hizam dan Mohamad Faizul dituduh melakukan penyeludupan migran enam lelaki warga Myanmar di sebuah rumah teres di Taman Redha, Pulai Chondong jam 12.30 tengah malam pada 15 November lalu.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala dan peguam Muhammad Aridz Mirzha Ahmad Masrizal mewakili Raja Yusuf Saifullah manakala tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan kerana kes itu adalah kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Muhammad Aridz Mirzha memohon jaminan diberikan kepada Raja Yusuf Saifullah dengan alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal kepada isteri dan seorang anak.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana jaminan bagi kes itu perlu dimohon di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 21 Januari depan sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




