PUTRAJAYA: Sejumlah lima lokaliti berbeza di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari bermula lusa antaranya ialah Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau, Sabah apabila 24 penduduk disahkan positif Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dikenakan arahan sama ialah dua asrama pekerja industri di Kluang, Johor iaitu kilang Oceanic Fabric Mill dan Purnabina apabila 56 petugasnya positif wabak tersebut.
“Tidak ketinggalan dilaksanakan PKPD hingga 23 Mei ialah Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes ketara dalam tempoh singkat dan kadar kebolehjangkitan tinggi dengan 135 penduduk disahkan ada pandemik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu di Kelantan, Ismail Sabri berkata, tiga perkampungan Mukim Bunut Susu, Jajahan Pasir Mas dilanjutkan lagi hingga 5 Jun ini iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang yang didapati masih lagi berlaku penularan malahan terdapat kes baharu di situ.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, jumlah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 550 individu ditahan dengan 532 dikompaun manakala 17 lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran diri di premis iaitu 193 kes.
Ia diikuti tidak memakai pelitup (122), tidak patuh arahan PKP (72), tiada jarak fizikal (57), rentas kawasan tanpa kebenaran (empat), aktiviti rumah terbuka (satu) dan lain-lain (101).
“Seramai 25 pendatang asing tanpa izin juga ditahan dan dua kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng selain sebanyak 144 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti penglihatan pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 673 individu tiba di tanah air semalam dengan sejumlah 7,460 individu masih lagi menjalani proses kuarantin wajib selain seramai 2,067 individu terlibat dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 198,664 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing.
Beliau juga mengesahkan, seramai 10 pekerja asing didapati positif Covid -19 daripada sejumlah 337 pekerja asing disaring di seluruh negara semalam.- UTUSAN ONLINE




