Menerusi sebuah video di plattform media sosialnya, situasi itu telah meruntun jiwa golongan ibu, lebih-lebih lagi buat Fasha yang mengakui sering bergelut dengan masa akibat komitmen kerja yang padat.
Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata ada ketikanya dia benar-benar terfikir untuk berhenti berlakon demi memberi lebih banyak masa kepada anak-anak.
“I’m sorry I worked so much. I wish I spent more time with you sayang. Inilah akibat selalu keluar subuh (anak masih tidur) dan balik tengah malam (anak sudah tidur).
“Kadang kala rasa nak berhenti saja berlakon sebab masa memang tak pernah cukup, tapi this is my passion,” luahnya sambil menitipkan kata sayang buat tiga permata hatinya, Rayfal, Jemyma dan Aisya.
Menurut Fasha, sebagai ibu yang bekerja dalam industri seni, pengorbanan masa adalah perkara paling sukar untuk ditelan.
Namun cinta dan minat mendalam terhadap kerjaya membuatkan dia tetap bertahan.
Menjengah ke ruangan komen, ada segelintir netizen yang mengakui turut melalui momen anak memujuk agar tidak pergi bekerja, ada juga yang mengatakan mereka menangis bersama ketika menonton video tersebut.
Dalam masa sama, ada juga netizen yang memuji Fasha sebagai ibu penyayang yang tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk keluarganya walaupun terikat dengan jadual kerja yang panjang.
Sekadar info, Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Rizal Ashram Ramli (Jejai) dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemaima.
Selepas berpisah, Fasha berkahwin dengan aktor Aidil Aziz pada 2019 dan pasangan itu kini mempunyai seorang anak perempuan, Aisha Amaira.




