UEC hanya boleh diiktiraf jika dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan, tepati aspirasi nasional – Mohamad Hasan

UEC hanya boleh diiktiraf jika dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan, tepati  aspirasi nasional – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan syarat ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata selagi UEC tidak menepati ciri berkenaan, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional. Ia mesti disandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.

“Namun bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang UEC di laksanakan. Ia telah di laksanakan oleh Dong Zong semenjak 1975 lagi dan ia tidak menghadapi apa jua masalah pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

“Kerana itu kita percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa.

“Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa.

“Pendidikan jangan lah kita politikkan. Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita, daripada pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah,” katanya.

Jelasnya, rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC tanpa sebarang halangan.

“Tetapi janganlah kerajaan di paksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.

“Bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah. Ia di terima di kebanyakan universiti di Malaysia dan diluar negara,” katanya.

Katanya, selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top