Ratu tukul besi negara, Grace cipta magis di Thailand

Ratu tukul besi negara, Grace cipta magis di Thailand

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Latihan singkat selama tiga bulan terakhir di Kunming, China dengan kembali berguru bersama jurulatih lamanya, Gu Yuan membuahkan hasil buat ratu baling tukul besi negara, Grace Wong apabila dia menghadiahkan pingat emas keempat negara pada temasya Sukan Sea Thailand kali ini.

Lebih menarik, lontaran emas sejauh 65.41m yang dilakukan atlet kelahiran Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan dan rekod Sukan Sea miliknya sendiri iaitu 63.53m yang dilakukannya di Terbuka Malaysia, Ogos lalu.

Ia adalah emas ketiga berturut-turut dimenanginya selepas edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja. Grace juga pernah memenangi emas kali pertama di Kuala Lumpur 2017.

Pada aksi hari ini di Stadium Nasional Suphachalasai, Grace memecahkan rekod Sukan Sea sebanyak tiga kali, bermula dengan lontaran sejauh 63.83m pada percubaan kedua, kepada 65.09m pada lontaran ketiga, sebelum mencatat jarak kemenangan 65.41m pada lontaran keempat.

Pingat perak menjadi milik atlet Thailand, Mingkamon Koomphon (60.74m), manakala rakan senegaranya, Sawitree Kaewasuksri (56.27m) meraih gangsa.

“Sebenarnya sebelum datang ke sini, saya sendiri hanya meletakkan sasaran pingat perak kerana atlet Thailand (Mingkamon) berada pada prestasi terbaik di ranking pertama tahun ini dengan lontaran sekitar 64m. Dia juga berlatih di Jepun manakala saya pula berlatih di China.

“Sepanjang berlatih di China, saya juga dapat lakukan balingan sekitar 60m ke atas. Tapi hari ini memang di luar jangkaan.

“Sebelum bertanding, jurulatih saya cuma pesan supaya saya beraksi seperti biasa dan kalau dapat baling sekitar 60 meter pun sudah memadai. Tapi saya buat lebih daripada itu.

“Dua tahun lalu, jurulatih saya (Gu Yuan) pulang ke China, jadi saya tak ada jurulatih di Malaysia dan hanya berlatih sendiri.

“Tapi Datuk Karim Ibrahim (Presiden Olahraga Malaysia) bantu saya untuk kembali berlatih di China. Sebelum itu saya keluar duit sendiri untuk berlatih, jadi saya sangat berterima kasih kepada mereka.

“Kalau berlatih di Malaysia sahaja, susah untuk saya tingkatkan prestasi,” katanya.

Mengulas detik dapat melakukan balingan sejauh 65.41m, Grace mengakui berada pada prestasi terbaik hari ini.

“Saya juga nampak ramai penyokong Malaysia datang saksikan saya dengan kibarkan bendera (Jalur Gemilang). Ia benar-benar menaikkan semangat saya.

“Saya beritahu kepada diri saya sendiri yang saya perlu raih keputusan terbaik hari ini. Saya tak mahu malukan rakyat Malaysia,” katanya.

Seorang lagi wakil Malaysia, Nurul Hidayah Lukman menamatkan saingan di tempat kelima dengan lontaran 52.21m.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top