Tumpahan 3,000 liter bahan kimia di Pasir Gudang dikesan tiada bacaan berbahaya

Tumpahan 3,000 liter bahan kimia di Pasir Gudang dikesan tiada bacaan berbahaya

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Tumpahan kira-kira 3,000 liter bahan kimia di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di sini, hari ini tidak menimbulkan ancaman toksik kepada orang awam, apabila pasukan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) mengesahkan tiada bacaan berbahaya dikesan sepanjang kawasan tumpahan sejauh 300 meter itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Iszahwati Supardi berkata, penilaian dilakukan pasukan HAZMAT mendapati kandungan bahan berbahaya berada pada tahap sangat rendah dan jenisnya dikenal pasti sebagai acetic acid dan ethyl formate.

“Pasukan HAZMAT melaporkan bacaan di sektor 2 dan sektor 3 (merujuk lokasi tumpahan bahan kimia) pada jam 2.25 petang, manakala Unit Dron Zon 3 turut mengesahkan anggaran tumpahan sebanyak 3,000 liter.

“Penilaian di sektor 5 juga dibuat dan hanya satu sektor direkodkan mempunyai bacaan melebihi tahap normal, namun tiada bahan bacaan berbahaya dikesan serta kandungan bahan itu adalah terlalu rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut berbincang dengan polis bagi membuat sekatan pada parit berhampiran kerana bahan itu mempunyai keberlarutan tinggi, sekali gus berpotensi mengalir ke sistem perparitan.

Katanya, hujan lebat pada jam 3.15 petang turut mendorong penilaian lanjutan dilakukan di laluan perparitan dan sungai.

“Satu pasukan turut digerakkan ke lokasi Delima 21 untuk menilai aliran bahan dan potensi penghasilan wap. Tiada wap berbahaya dikesan di lokasi berkenaan,” katanya.

Iszahwati berkata, hasil mesyuarat bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Johor Corporation (JCorp), kes itu diserahkan kepada JAS dan JCorp bagi pelaksanaan kerja pembersihan.

Terdahulu, tumpahan bahan kimia dikesan pada jam 8.12 pagi dan jalan terbabit ditutup bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.

Tiada mangsa terjejas dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top