am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Ummi Umairah Saiful Anuar, 15, mengakui kemenangannya pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kategori Artis Baharu Wanita Popular adalah satu kejutan besar yang tidak pernah dijangka.
Kata Umai, pengiktirafan itu menjadi batu loncatan penting dalam kerjayanya sebagai pendatang baharu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya. Alhamdulillah, kemenangan ini adalah rezeki yang sangat membahagiakan. Saya sendiri tak terfikir akan menerima anugerah ini,” katanya.
Umai yang juga anak saudara Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mencatat pencapaian sebagai antara artis wanita muda yang berjaya meraih trofi berprestij itu, berkata, sokongan peminat dan keluarga menjadi kekuatan utamanya selama ini.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada keluarga, terutama ibu yang sentiasa bersama sejak kecil. Ini impian yang saya bawa sejak sekian lama dan hari ini ia akhirnya menjadi kenyataan,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Umai berkata, kejayaannya itu membuka ruang lebih luas untuknya terus berkarya dalam dunia seni.
“Kemenangan ini buat orang lebih mengenali saya. Insya-Allah, saya akan keluarkan single baharu, mungkin tahun depan. Semuanya masih dalam perancangan,” katanya.
Umai turut berterima kasih kepada peminat yang terus memberikan sokongan positif sepanjang penglibatannya dalam industri seni ini.
“Saya masih baharu dalam industri ini. Insya-Allah saya akan usaha memberi yang terbaik dan terus memperbaiki diri,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




