Polis nafi salah laku dalam video tular anggota tanpa topi keledar

Polis nafi salah laku dalam video tular anggota tanpa topi keledar

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Polis menafikan dakwaan sebarang salah laku selepas video tular memaparkan dua anggota polis menunggang motosikal yang salah seorangnya tidak memakai topi keledar di kawasan lampu isyarat Jalan Indah, Taman Cheras Indah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, video tular dakwaan itu dikesan pihaknya jam 7 pagi, hari ini di Tiktok.

Katanya, rakaman video itu memaparkan dua orang anggota polis berada di atas motosikal ditunggang di kawasan lampu isyarat yang salah satu daripadanya adalah anggota polis trafik yang kelihatan dalam rakaman video tidak memakai topi keledar.

“Hasil semakan lanjut mendapati anggota polis trafik berkenaan adalah anggota Response Team yang bertugas 24 jam yang dipertanggungjawabkan untuk menghala ke satu-satu lokasi kemalangan selepas terima makluman.

“Pada ketika itu, anggota itu terima satu makluman mengenai satu kemalangan dan diarahkan untuk menghala ke satu lokasi kemalangan di Jalan Indah.

“Selepas selesai menguruskan mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu, anggota polis berkenaan menunggang motosikal dengan ditunda oleh anggota polis lain seperti yang dirakam di dalam video tular berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Nazruel berkata, motosikal itu mengalami kerosakan pada enjin dan tidak dapat ditunggang seperti biasa.

“Tindakan anggota polis berkenaan adalah bertujuan untuk membantu mengalihkan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan bagi memastikan kelancaran lalu-lintas.

“Sekiranya kenderaan itu berada di tengah jalan tanpa dialihkan ia boleh menjadi halangan lalu lintas yang boleh mengundang kepada insiden kemalangan yang lain.

“Keselesaan pengguna jalan raya adalah keutamaan terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh anggota polis trafik berkenaan adalah tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, tindakan yang diambil juga adalah di bawah pemerhatian dan pemantauan seorang lagi anggota yang ada bersama membantu menunda motosikal yang rosak itu.

Sementara itu, Harian Metro ketika menyemak akaun TikTok milik individu yang menularkan rakaman video berkenaan, namun ia sudah dipadam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top