roha@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan penjaja dan peniaga kecil akur dengan langkah kerajaan memperketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sektor ekonomi dengan menyifatkan ia langkah terbaik mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Menyifatkan langkah itu tepat pada masanya, persatuan peniaga percaya langkah itu bukan menyekat sektor berkenaan sebaliknya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan dipatuhi sektor berkenaan dengan lebih ketat.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, langkah memperketatkan sektor ekonomi ini membabitkan kawalan pergerakan pekerja di kilang atau tempat kerja untuk mengurangkan kes jangkitan di tempat kerja.
“Kebanyakan kes jangkitan COVID-19 kini membabitkan tempat kerja yang kemudiannya tersebar kepada komuniti. Kita akur dan setuju peraturan lebih ketat ini.
“Sebagai contoh, di pusat beli belah atau tempat awam, tingkatkan penguatkuasaan. Beri kuasa kepada pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) keluarkan kompaun dan saman jika orang awam abai SOP,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersetuju memperketat PKP dengan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri, petang ini.
Rosli berkata, kemasukan ke pusat beli belah perlu lebih diperketat dengan syarat imbasan melalui MySejahtera dan menetapkan jumlah kemasukan pelanggan dalam satu-satu masa mengikut kapasiti ruang premis.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata langkah memperketatkan SOP sektor ekonomi lebih berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan berbanding menutup terus sektor ekonomi.
Katanya, langkah itu yang terbaik supaya jangkitan dikurangkan dan pada masa sama ekonomi negara terus bergerak.
“Sememangnya ini yang kami mahukan, tingkatkan dan perketatkan SOP, bukannya melaksanakan sekatan penuh PKP.
“Memandangkan orang ramai tidak dapat disiplinkan diri ketika berada di luar rumah, maka sebaiknya diletakkan penguatkuasa di pusat beli belah dan tempat awam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd