Program kerohanian Cahaya Hati 2.0 anjuran One World Muslimah (OWM) yang berlangsung baru-baru ini berjaya memberi impak mendalam kepada peserta apabila menghimpunkan Muslimin dan Muslimat dalam sebuah wadah pengisian rohani yang inklusif.
Buat julung kalinya, program yang sebelum ini dikhususkan kepada Muslimah itu dibuka kepada penyertaan lelaki dan wanita, sekali gus meluaskan peranannya sebagai platform sokongan, inspirasi dan pengukuhan keimanan kepada masyarakat.
Program berkenaan diangkat dengan tema ‘Dari Luka Menuju Cahaya, Dari Hati Menuju Syurga’, yang menyentuh tentang kekuatan jiwa, penyembuhan emosi dan perjalanan kembali kepada Allah di sebalik ujian kehidupan.
Pengerusi One World Muslimah, Puan Noor Razlina Noor Mohamed, berkata penganjuran Cahaya Hati 2.0 bukan sekadar menyampaikan pengisian ilmu, sebaliknya menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah dan memulihkan jiwa.
“Setiap luka dan ujian yang dilalui bukanlah sia-sia. Ada luka yang mengangkat darjat dan ada ujian yang menjadi pintu rahmat. Program ini ibarat pelukan buat jiwa yang penat dan cahaya buat hati yang sedang mencari,” katanya.
Menurutnya, program itu bertujuan membantu peserta mendalami kefahaman terhadap Islam, mengukuhkan keimanan serta memberi kekuatan dalam menghadapi tekanan hidup dan cabaran masyarakat moden.
Cahaya Hati 2.0 turut menampilkan penceramah jemputan dari Indonesia, Ustaz Irfan Rizki, yang dikenali dengan gaya penyampaian santai, ringkas namun menyentuh jiwa.

Noor Razlina berkata, pemilihan Ustaz Irfan sebagai penceramah dibuat selepas melihat kesan positif pendekatan dakwahnya, khususnya menerusi perkongsian ringkas di media sosial.
“Cara ustaz menyampaikan ilmu sangat padat, tepat dan mudah difahami. Peserta benar-benar dapat menghayati setiap pengisian yang disampaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Irfan menegaskan dakwah yang disampaikan bertujuan mengajak masyarakat mendekatkan diri kepada Allah dan saling menasihati ke arah kebaikan.
“Apa sahaja yang kita miliki hari ini datangnya daripada Allah. Penerimaan terhadap dakwah bukan kerana saya, tetapi kerana Allah yang membuka hati untuk sama-sama belajar,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, penggunaan klip video ceramah ringkas di media sosial terbukti berkesan dalam mendekatkan mesej dakwah kepada masyarakat, khususnya golongan muda.




