JDT pertahan trofi Piala FA, benam Sabah 5-0

JDT pertahan trofi Piala FA, benam Sabah 5-0

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menyimpan trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut selepas membelasah Sabah FC 5-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini, malam tadi.

Namun di sebalik kemenangan itu, beberapa insiden babitkan keputusan pengadil nyata mencuri perhatian sepanjang 90 minit permainan.

Gol Sabah di babak pertama yang dibatalkan serta layangan kad kuning kedua buat pemain skuad The Rhinos antara rencah perlawanan di SNBJ.

Begitupun pemain-pemain Sabah tetap tenang meneruskan aksi terbabit biarpun sedar bukan mudah untuk mencabar skuad Harimau Selatan yang hadir dengan kekuatan penuh.

Skuad Xisco Munoz yang turun dengan misi mengekalkan kejuaraan nyata menepati ramalan apabila langsung tidak memberi peluang buat lawan yang terus kempunan mengulangi kejayaan memenangi Piala FA 1995 kira-kira 30 tahun lalu.

Kesungguhan JDT terserlah apabila seawal minit kelapan sudah berjaya mendahului hasil tandukan kemas Jonathan Silva yang menyambut sepakan percuma Oscar Aribas untuk mengejutkan penyokong Sabah FC.

Kelebihan itu kemudiannya digandakan pada minit ke-19 hasil jaringan sendiri ketua pasukan Sabah FC, Rawilson Batuil yang cuba menghalang gerakan Manuel Hidalgo namun bola terkena kaki Rawilson dan bergolek masuk ke gawang.

Jaringan JDT terus bertambah kali ini giliran penyerang dari Brazil, Jairo da Silva yang melayangkan badan untuk menanduk selepas memanfaatkan sepakan sudut yang diambil Aribas.

Pada minit ke-26, Sabah FC berjaya menjaringkan gol menerusi percubaan Ajdin Mujagic tetapi pengadil, Kamil Zakaria Ismail membatalkan gol itu selepas dia merujuk VAR dan mengesan berlakunya kekasaran ke atas Natxo Insa sebelum jaringan itu terhasil.

Bersambung babak kedua, Sabah yang berhasrat menamatkan badi kejuaraan selama 30 tahun itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Miguel Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua di minit 50 biarpun hasil ulang tayang menyaksikan tiadanya kekasaran dilakukan oleh pemain tengah itu ke atas pemain JDT.

Kekurangan seorang pemain digunakan sebaiknya oleh JDT apabila meledak dua gol lagi masing-masing menerusi Aribas di minit 64 dan Hidalgo di hujung permainan, sekali gus merakam kemenangan besar kedua berturut-turut di final selepas membelasah Selangor FC 6-1 pada musim lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top