am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penipuan ‘love scam’ di negara ini menunjukkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 977 kes bermula Januari hingga November lalu berbanding 715 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) turut menunjukkan jumlah kerugian meningkat kepada RM43 juta untuk tempoh sama tahun ini berbanding RM41 juta tahun lalu.
“Sebanyak empat peratus kenaikan jumlah kerugian pada tahun ini daripada tahun lalu, manakala sebanyak 37 peratus kenaikan jumlah kes pada tahun ini daripada tahun lalu,” kata JSJK dalam perkongsian di Facebook.
Kenyataan itu berkata, ‘love scam’ adalah penipuan yang mana penipu membina hubungan palsu melalui platform dalam talian untuk menipu wang daripada mangsa.
“Statistik menunjukkan kes dan kerugian meningkat setiap tahun terutama membabitkan mangsa wanita, jadi sentiasa berhati-hati dalam perhubungan di talian.
“Cara mengelak dan bertindak adalah dengan jangan mudah percaya, jangan menghantar wang, jangan kongsi maklumat peribadi dan jangan terpedaya dengan janji hadiah.
“Selain itu, dapatkan pandangan orang terdekat serta laporkan jenayah dengan menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan (NSRC) di talian 997,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




