Pasang kawad duri 16 lorong tikus

Pasang kawad duri 16 lorong tikus

bhnews@nstp.com.my

TAIPING: Polis daerah ini turut memasang kawad duri di 16 lorong tikus yang dikenal pasti bagi memastikan tiada aktiviti rentas daerah atau negeri secara haram sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula hari ini hingga 4 Jun.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, sepanjang tempoh itu juga pihaknya meningkatkan kekerapan rondaan berkala terhadap semua jalan dan laluan yang terdapat di daerah ini termasuk lorong tikus.

Beliau berkata, pihaknya juga turut mengarahkan ke semua anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) supaya meneliti setiap dokumen surat kebenaran rentas daerah dan negeri sebelum membenarkan kenderaan itu melapasi sekatan.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dalam mempergunakan surat kebenaran yang diluluskan untuk tujuan ke tempat destinasi yang lain.

“Selain itu, ia juga bagi mengesan atau mengelakkan sebarang dokumen palsu digunakan individu,” katanya ketika ditemui di SJR PKPD di Jalan Ayer Putih di sini hari ini.

Sepanjang PKP dilaksanakan sehingga semalam, katanya, sebanyak 508 kompaun dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Baru-baru ini sebuah premis menjual barangan runcit di Batu Kurau, dekat sini dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP PKP kerana beroperasi lebih had masa yang ditetapkan selain mengenakan kompaun RM2,000 masing-masing terhadap 12 lelaki kerana mengadakan sambutan hari lahir dan minum minuman keras di sekitar bandar Taiping,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top