Pemantauan terhadap kegiatan sindiket diperketatkan

Pemantauan terhadap kegiatan sindiket diperketatkan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket dan kartel berskala besar yang terbabit dalam ketirisan barang kawalan termasuk minyak masak di ibu kota dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur untuk dibanteras secara tuntas.

Pengarahnya, Mohd Sabri Seman berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap sindiket dan kartel tahun hadapan.

“Beberapa kes masih dalam siasatan. Bagi (KPDN) Kuala Lumpur, siasatan dan pemantauan terhadap kegiatan sindiket membabitkan ketirisan barang kawalan akan diberi keutamaan,” katanya pada sidang media selepas Program Pelupusan Mega Ekshibit KPDN Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Antara barang kes yang dilupuskan ialah pakaian dan aksesori fesyen termasuk baju, seluar, topi, kasut, selipar dan tali pinggang selain komponen elektronik, aksesori telefon, produk kesihatan dan kecantikan. Selain itu, barangan lain termasuk produk pembersihan dan penjagaan rumah serta alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan.

Menurutnya, lokasi kegiatan sindiket berkenaan tidak tertumpu di satu lokasi sebaliknya ia bertaburan termasuk di kawasan terpencil selain tepi sungai dan semak.

“Peniaga dan pengguna juga diberi amaran supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top