norhayati_nordin@hmetro.com.my
Peminat! peminat! peminat! Tanpa peminat siapalah artis. Ini ayat yang selalu keluar daripada penggiat seni sama ada pelakon, penyanyi, pengacara, pelawak mahupun pengarah filem.
Ternyata pengaruh peminat sangat besar terutama bagi memastikan seseorang artis itu popular termasuk karya seninya diterima baik serta mendapat sokongan ramai dan meletup di pasaran.
Hingga muncul juga istilah ‘mencetus fenomena’ yang semua itu hasil kerja peminat. Bagi peminat fanatik pastinya mereka sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan artis kesukaan dan kesayangan berjaya.
Contoh ini dapat dilihat pada acara majlis anugerah yang memerlukan peminat menghantar undian untuk artis kesayangan mereka. Menerusi kelab peminat ditubuhkan, mereka bekerja keras tanpa lelah menghantar undian.
Hingga jutaan sampai ratusan juta undian diterima oleh artis sebagaimana diraih penyanyi Ernie Zakri pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-37 (ABPBH37) baru-baru ini apabila dinobatkan Bintang Paling Popular.
Bayangkan tak mungkin Ernie dan suaminya, penyanyi Syamel sahaja yang gigih menghantar banyak undian tanpa ada campur tangan dan tulang belakang utama iaitu peminat yang menyokong.
Di kemuncak ABPBH37 itu, Ernie berjaya meraih sebanyak 124,448,198 undian keseluruhan dan jumlah berkenaan sangat besar. Jadi, itu kuasa peminat terhadap seseorang artis pujaan.
Justeru, ramai artis beranggapan sokongan peminat perlu dijaga sebaik-baiknya. Kalau peminat ajak bergambar dan tandatangan autograf, lakukan sahaja sebab bukan lama pun masa yang diambil.
Begitu juga kalau sesi Meet & Greet, artis hanya perlu luangkan masa kira-kira 20 minit, 30 minit hingga sejam untuk bersama peminat. Perlu hadir sahaja manakala lokasi, makan minum serta cenderahati kepada tetamu semua sudah disediakan oleh kelab peminat.
Umpamanya, artis tak payah susah-susah nak buat pembayaran kerana semua sudah dilunaskan oleh kelab peminat dan kedatangan mereka (artis) yang dinanti untuk didekati serta beramah mesra.
Termasuk juga kejayaan penganjuran konsert disebabkan peminat. Walau berapa pun harga tiket ditetapkan dalam beberapa kategori yang mencecah ratusan hingga ribuan ringgit, peminat masih rela membeli.
Lihat saja Konsert GenKRU oleh trio adik-beradik KRU pada Mei lalu yang asalnya dirancang berlangsung dua malam pada 3 dan 4 Mei di Axiata Arena Bukit Jalil, namun bila tiket sold out ditambah malam ketiga.
Selanjutnya, tiket sold out lagi untuk konsert malam ketiga, 10 Mei terus ditambah malam empat pada 11 Mei, tetap masih lagi berpusu-pusu peminat yang membeli tiket bagi menyaksikan show trio legenda itu.
Konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga dapat sambutan hebat peminat. Walaupun diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands pada 5 dan 6 Julai lalu, tiket Konsert Violet Skies tetap sold out.
Tidak hanya itu, tiket konsert lagu kerohanian juga laris dibeli peminat. Buktinya Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 28 September lalu, sold out juga.
Jadi, sememangnya sokongan peminat itu sangat besar untuk seseorang artis. Malah, artis nak ambil hati peminat juga rasanya tidak susah dengan bersikap mesra, hormat dan humble.
Peminat sebenarnya tak minta lebih dan keterlaluan pun kepada artis pujaan mereka, cuma layanan diberikan itu haruslah tulus dan ikhlas. Malah, tahu menghargai dan meraikan sokongan yang mereka berikan.
Selain konsert, industri perfileman tanah air juga menunjukkan sokongan peminat filem yang semakin baik dengan kejayaan box-office dikutip karya filem tempatan pelbagai genre seperti aksi, animasi dan seram.
Bagi genre aksi, pastinya filem Blood Brothers: Bara Naga arahan bersama Syafiq Yusof dan Abilash Chandra berjaya menambat hati peminat yang gemar menonton naskhah pertarungan hingga mencetus fenomena.
Ditayangkan pawagam tanah air mulai 10 April lalu, filem Blood Brothers: Bara Naga berjaya meraih kutipan pecah panggung lebih RM74 juta termasuk dibawa juga tayangan ke beberapa negara di Asia Tenggara.
Selain itu, naskhah filem animasi Malaysia juga tidak menghampakan peminatnya pada kalangan kanak-kanak dan seisi keluarga. Itulah filem Ejen Ali: The Movie 2 yang ditayang di pawagam pada 22 Mei lalu.
Walaupun peminat animasi perlu menunggu lima tahun untuk menonton Ejen Ali: The Movie 2 di pawagam, namun jalan cerita perjuangan Ali bersama rakan-rakan tidak mengecewakan.
Kali ini terbabit melaksanakan Misi Satria, kutipan dicatat filem Ejen Ali: The Movie 2 di pawagam tanah air hebat juga kira-kira RM60 juta meskipun tidak menandingi kutipan Blood Brothers: Bara Naga.
Justeru, kepada penggiat seni tanah air berusaha untuk menghargai peminat kalian semua. Kejayaan dicatat industri hiburan tempatan yang dilihat begitu menunjuk peningkatan terbaik ketika ini semuanya atas sokongan peminat.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




