am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Provokasi tanpa batas, lebih-lebih lagi apabila menyentuh institusi Diraja oleh aktivis Fahmi Reza disifatkan sebagai ‘perbuatan tidak waras’ dan boleh ‘makan’ diri.
Bendahari Umno Bahagian Tebrau merangkap Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk A Aziz Ahmad berkata, kebebasan bersuara di negara ini tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan oleh seseorang bagi mencetuskan kontroversi.
Menurutnya, lebih mengecewakan apabila ia membabitkan intitusi Diraja yang menjadi simbol perpaduan dan kestabilan negara.
Katanya, tindakan lelaki terbabit juga menimbulkan persoalan berkaitan hala tuju aktivisme yang dibawanya kerana bebas menyentuh sensitiviti rakyat terhadap institusi yang dilindungi Perlembagaan.
“Kami sebagai bangsa Johor menghormati institusi Diraja dan kami terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab individu berkenaan yang bebas berkongsi apa saja tanpa memikirkan implikasi.
“Kami yakin pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan namun sebagai rakyat Johor, kami berharap suatu tindakan sesuai bagi memastikannya tidak mengulangi perbuatannya.
“Kami juga berharap siasatan yang menyeluruh terhadap kandungan dan perbuatan yang terkandung dalam hantaran-hantaran terbabit perlu dilakukan segera,” katanya di sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Hadir sama membuat laporan polis, Pengerusi Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Rohsawal Nizam Abd Ghafar.
Rohsawal berkata, hantaran terbabit mempersoalkan kedudukan dan peranan institusi Diraja secara tidak beradab, malah seolah-olah menggambarkan institusi Raja Melayu boleh bertindak sesuka hati tanpa sebarang had.
Menurutnya, perkara berkenaan adalah tidak benar dan boleh menimbulkan pelbagai kekeliruan serta tanggapan salah.
“Kami mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi Diraja.
“Sebagai bangsa Johor kami memang sayang Sultan dan intitusi Diraja. Kami berharap pihak polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, lebih 50 laporan polis berhubung isu penghinaan terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dibuat secara meluas di seluruh negeri ini membabitkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan belia, wakil rakyat, pimpinan masyarakat dan individu perseorangan.
Antara yang tampil membuat laporan polis berkenaan ialah persatuan belia di peringkat negeri serta daerah terdiri daripada Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing dan Majlis Belia OKU Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




