Jenazah nenek ditikam cucu selamat dikebumikan

Jenazah nenek ditikam cucu selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Baling: Jenazah wanita warga emas yang meninggal dunia selepas ditikam cucunya sendiri di rumahnya di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil semalam selamat dikebumikan malam ini.

Jenazah Halimah Hashim, 65, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakai, di sini jam 9.05 malam.

Terdahulu, jenazah dibawa menaiki van selamat tiba di rumahnya kira-kira 8 malam dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kampung Surau Bakai untuk disembahyangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, Muhamad Faizal Yahya, 41, berkata, jenazah Mak Long Mah kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Beliau berkata, urusan pengebumian selesai jam 9.40 malam dan dihadiri hampir 50 orang termasuk ahli keluarga dan penduduk kampung.

“Syukur Alhamdulillah, jenazah Mak Long Mah selamat dikebumikan.

“Keadaan moyang pula Alhamdulillah stabil dan sudah pulang ke rumah cuma dia masih trauma.

“Esok, dia akan menjalani rawatan susulan di Hospital Kulim,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki menikam neneknya yang berusia 65 tahun sehingga meninggal dunia serta menetak moyangnya yang berusia 80 tahun sehingga cedera di leher dan tangan.

Suspek kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top